_( 78 : KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG MENETAP PADA HAMBA-NYA )_
◄SEBAHAGIAN PARA HAMBA DITENTUKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK BERKHIDMAT KEPADA-NYA DAN ADA PULA SEBAHAGIAN YANG DIISTIMEWAKAN ALLAH S.W.T DENGAN MENCINTAI-NYA. KEPADA MASING-MASING ITU DIBERIKAN BANTUAN DARI KURNIAAN TUHAN DAN KURNIAAN TUHAN ITU TIDAK TERBATAS►
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti, melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau memenangkan daku!”
“Tidak aku hiraukan walaupun sekalian makhluk-Mu memusuhi daku asalkan Engkau tidak murka kepadaku”.
Imbasan Cinta Allah s.w.t hanya dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w dan dari kalangan umat baginda yang dipilih mewarisi Cinta tersebut. Abu Bakar as-Syubli membawa puntung kayu api kerana dia mahu membakar syurga dan kaabah agar Allah s.w.t dicintai dengan sebenar-benarnya, bukan kerana syurga, dan agar manusia benar-benar menghadap Allah s.w.t bukan terhenti pada kaabah. Abu Yazid al-Bustami menasihatkan, “Jika kebajikan yang dikurniakan kepada Adam, kesucian malaikat Jibrail, kemuliaan Ibrahim, rindu dendam Musa dan Cinta Muhammad s.a.w, dikurniakan kepada kamu, janganlah kamu menyukainya kerana itu semua adalah hijab. Carilah Dia dari Dia sahaja, maka yang lain itu semuanya kamu punya”.
Cinta Allah s.w.t adalah pengalaman kerohanian yang sangat seni dan aneh. Para hamba yang dikurniakan pengalaman tersebut telah terlebih dahulu melatihkan diri berpuluh-puluh tahun lamanya. Mereka berjuang tanpa henti-henti menentang hawa nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka mencarinya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah s.w.t. Orang yang mencintai Allah s.w.t ghaib dalam melihat Allah s.w.t hinggakan tidak sedar lagi terhadap apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Fana dia dari dirinya dan sekalian alam maujud. Dia tidak dapat membezakan antara sakit dengan senang, emas dengan tanah kering. Orang yang dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t tidak berasa apa-apa walaupun kepalanya dipancung. Abu Mansur al-Hallaj tersenyum dan ketawa bila dia disalib. Kemudian kaki dan tangannya dipotong, matanya dicungkil, lidahnya dikerat dan akhirnya kepalanya dipancung. Cinta Allah s.w.t yang menguasainya menghilangkan ketakutan dan kesakitan. Bila kakinya dipotong dia menyaksikan kaki rohnya bebas berjalan menuju Tuhannya. Bila tangannya dipotong dia menyaksikan tangan rohnya bebas mencapai Tuhannya. Bila matanya dicungkil dia menyaksikan mata rohnya lebih terang memandang kepada Tuhannya. Bila lidahnya dikerat dia menyaksikan lidah rohnya semakin petah berkata-kata dengan Tuhannya. Bila kepalanya dipancung dia merdeka sepenuhnya untuk ‘bersanding’ dengan Tuhannya.
Jika diselami benar-benar akan didapati bahawa Cinta Allah s.w.t sebenarnya tidak dimiliki oleh sesiapa pun tetapi Cinta Allah s.w.t itulah yang menawan hati seseorang. Cinta Allah s.w.t itu menguasai bukan dikuasai. Cinta Allah s.w.t menarik seseorang ke dalam kefanaan dari dirinya dan segala-galanya lalu masuk ke dalam tauhid hakiki. Syarat bagi seseorang untuk layak menanggung Cinta Allah s.w.t adalah seandainya semua harta yang ada di dalam perut bumi dikeluarkan dan diberikan kepadanya, dia menolak demi Wajah Allah s.w.t. Hati yang sanggup berbuat demikian layak menerima Cinta Allah s.w.t. Orang yang benar-benar mabuk dalam percintaan tidak ingat akan harta dan dunia.
Golongan pencinta Allah s.w.t adalah tetamu Allah s.w.t yang dimuliakan. Mereka dihidangkan dengan berbagai-bagai hidangan yang tidak pernah dinikmati oleh golongan lain. Merekalah yang merasai buah dari pokok yang ditanam oleh golongan Mukmin dan dijaga oleh golongan abid dan zahid. Daya rasa mereka tidak lagi serupa dengan daya rasa manusia biasa.
Asma binti Abu Bakar as-Siddik tatkala tuanya, mengalami satu peristiwa yang luar biasa. Anaknya, Abdullah, telah dituduh sebagai pemberontak oleh pemerintah pada ketika itu. Abdullah dijatuhkan hukuman bunuh. Mayatnya diheret dari lorong ke lorong selama beberapa hari, dan mayat itu menjadi busuk. Apabila mayat itu diheret di hadapan rumah Asma, yang pada ketika itu sudah tidak boleh melihat, tercium bau yang sangat harum. Asma bertanyakan mayat siapakah yang berbau harum itu. Dia diberitahu yang mayat itu adalah mayat puteranya. Asma mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana menjadikannya ibu kepada seorang pemuda yang salih.
◄◄●════════◄●►════════●►►